Friday, July 24, 2009

RENCANA

Pendidikan Wujudkan Migrasi

Oleh: Suzana Binti Mustapha
Dasar pendidikan negara di Malaysia semakin mantap saban hari dengan kepelbagaian dasar baru yang diperkenalkan bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Keperluan taraf pendidikan yang semakin tinggi bagi memenuhi pasaran pekerjaan pada masa kini juga mempengaruhi kepesatan jumlah penduduk terutama di kawasan bandar-bandar besar. Dinyatakan bahawa 25% daripada jumlah penduduk di bandar raya Kuala Lumpur adalah terdiri daripada golongan belia atau lebih khususnya adalah pelajar. Oleh itu, keperluan pendidikan merupakan faktor kepada berlakunya migrasi ke bandar seperti Kuala Lumpur.

i
Migrasi luar bandar ke bandar bagi golongan belia khususnya, berlaku disebabkan oleh faktor pendidikan. Aspek ini merangkumi pendidikan tahap menengah dan peringakat tertiari. Walau bagaimanapun, tumpuan utama adalah kepada pendidikan peringkat tertiari iaitu taraf pendidikan tinggi yang melibatkan graduan mendapatkan peluang pekerjaan dalam bidang profesional. Migrasi luar bandar ke bandar wujud kerana faktor lokasi Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) kebanyakannya terletak di kawasan bandar misalnya seperti Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain di Semenanjung Malaysia.

Merujuk kepada matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah daripada negara maju menjelang tahun 2020 juga adalah berasaskan kepada sistem pendidikan negara. Kepentingan matlamat ini juga berkenaan dengan pembangunan sumber manusia bagi melahirkan modal insan yang bakal menerajui kepimpinan negara. Hal ini kerana dasar pendidikan mampu mewujudkan modal insan yang berkualiti. Pembangunan sumber manusia adalah bertujuan untuk memperbaiki kualiti pendidikan terutama kepada golongan belia dan telah mewujudkan persaingan kepada mereka bagi mendapatkan tempat di IPTA dan IPTS.

Sistem pendidikan di IPTA dan IPTS banyak menawarkan program yang berasaskan teknologi, pengetahuan dan kemahiran. Lebih banyak peluang pendidikan yang diwujudkan bagi menampung jumlah belia, maka semakin bertambah juga jumlah penduduk di kawasan bandar. Walau bagaimanapun, peluang pendidikan ini dibuka kepada semua lapisan masyarakat iaitu bukan sahaja kepada golongan belia malahan juga kepada golongan yang bekerja bagi meningkatkan lagi taraf pendidikan yang sedia ada.

Walaupun sedemikian, tahap kemiskinan yang membelenggu kebanyakan penduduk di kawasan luar bandar juga merupakan faktor kepada berlakunya migrasi ke bandar. Memetik kata-kata daripada mantan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pembentangan Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9), “jurang pendapatan dan kekayaan tetap wujud terutamanya antara kaum dan antara kawasan luar bandar dengan kawasan bandar.” Antara alasan kepada keadaan seumpama ini berlaku adalah disebabkan oleh kurangnya aspek pendidikan dalam kalangan penduduk luar bandar. Sejurus itu, keadaan sedemikian telah mendorong belia untuk mendapatkan taraf pendidikan yang lebih tinggi dengan memohon untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA yang kebanyakan terdapat di bandar. Ia juga sekali gus mewujudkan migrasi dari luar bandar ke bandar yang mengakibatkan peningkatan jumlah penduduk di kawasan bandar.

Selain daripada tahap kemiskinan yang mendorong belia untuk meneruskan pendidikan yang lebih tinggi, terdapat juga tawaran pasaran pekerjaan yang mengikut kesesuaian dalam bidang pendidikan yang diceburi menjadikan belia tertumpu di kawasan bandar sahaja. Para belia biasanya akan mencari serta mengisi peluang pekerjaan di bandar mengikut taraf pendidikan yang dimilki sejurus selepas menamatkan pengajian kerana pasaran pekerjaan di bandar banyak menawarkan program yang berasaskan kepada perkhidmatan yang memerlukan ilmu pengetahuan yang tinggi.

Di sini akan memperlihatkan fenomena bandar dimana jumlah penduduk yang sedia ada bertambah kepada jumlah penduduk yang lebih ramai lagi kerana dipengaruhi oleh faktor graduan yang mendapatkan pekerjaan berdasarkan taraf pendidikan yang dimiliki. Hal ini merupakan penyebab utama kepada pertambahan penduduk yang semakin pesat di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur.

Dapat dinyatakan bahawa pendidikan adalah faktor penting kepada berlakunya migrasi luar bandar ke bandar. Demi mendapatkan sebuah kehidupan yang selesa, pendidikan yang tinggi adalah perlu bagi mendapatkan pekerjaan yang mampu memberi sedikit perubahan daripada kehidupan yang sebelumnya. Selain itu juga, seruan daripada kerajaan bagi mencapai matlamat negara menjadikan pendidikan sebagai salah satu cara untuk melahirkan modal insan yang berkualiti. Keseluruhan daripada gabungan pelbagai aspek berkenaan merupakan penyumbang kepada kewujudan migrasi luar bandar ke bandar oleh golongan belia berdasarkan faktor pendidikan dan seterusnya juga menyumbang kepada peningkatan jumlah penduduk di kawasan bandar.

Rujukan:http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment