Sunday, July 12, 2009

BERITA UMS

Malam Seni Bahasa 2009
“Bahasa Teras Pembentukan Bangsa Malaysia”.

Oleh Mohd. Safwan Bin Sawi
safwansawi@yahoo.com

KOTA KINABALU: Marcapada ini, bahasa terus menjadi isu hangat dalam sistem pendidikan negara. Sementelahan itu, Bahasa Malaysia yang menjadi bahasa rasmi negara sering dicabar kedaulatannya dalam pembentukkan sebuah bangsa Malaysia oleh sesetengah pihak. Maka, sebagai mahasiswa yang prihatin, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah (MPPUMS) telah mengambil inisiatif dalam menyemarakkan lagi keutuhan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa perpaduan melalui program “Malam Seni Bahasa 2009” yang telah pun berlangsung pada Sabtu lepas, bermula pada jam 8.00pm bertempat di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Acara telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia, Prof Madya. Dr. Shariff Abdul Kadir S.Omang, Pemangku Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS. “Program sebegini telah mengimbas kembali sejarah kemerdekaan Malaysia dan juga penubuhan Akta 152 iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang bertujuan membentuk sebuah identiti perpaduan bangsa Malaysia itu sendiri selaras dengan Prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia,” katanya dalam ucapan perasmian tersebut. “Malangnya, acara seperti hiburan, nyanyian, konsert dan sebagainya selalunya mendapat sambutan hangat di kalangan remaja kini. Program-program berbentuk ilmiah seperti ini jarang-jarang sekali kita lihat mendapat sambutan yang menggalakkan. Namun saya berasa amat gembira, pada Malam Seni Bahasa ini ternyata sambutan begitu amat menggalakkan.” tambahnya lagi.


Pelbagai persembahan disajikan pada malam itu antaranya, persembahan tarian Daling-daling oleh kumpulan kebudayaan Sekolah Pengajian Seni (SPS) UMS, sketsa “Muhibbah” dari Grup Teater Lab (G-Tel) UMS, dan nyanyian perpaduan oleh kumpulan Karya Charma. Persembahan sketsa oleh kumpulan G-TEL berjaya mencuit hati penonton apabila seni bahasa itu ditonjolkan dalam bentuk satira dan parodi hantu berunsurkan seram dan jenaka yang cukup menghiburkan disamping mengetengahkan kepentingan bahasa kebangsaan sebagai bahasa muhibbah. Turut diselitkan pertandingan Debat Terbuka Ala Parlimen oleh kumpulan ahli-ahli debat UMS yang bertajuk “Bahasa Teras Pembentukan Bangsa Malaysia” dan telah dimenangi oleh pasukan pembangkang yang telah diadili atas undian penonton. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Prof Madya. Dr. Shariff Abdul Kadir S.Omang.

Copyright © 2009 PORTAL BERITA sakap-sakap ja ba

No comments:

Post a Comment