Isu Pti di Sabah : Mana Noktahnya?
Pada hakikatnya, penduduk di negeri Sabah masih lagi mencari titik noktah kepada masalah kebanjiran pendatang tanpa izin di Sabah yang seakan-akan barah yang akhirnya menjadi tokak yang perlu dibuang begitu sahaja. Di sebalik kesibukan bandar raya Kota Kinabalu, warga Filipina yang bukan sahaja datang “bertamu” di negeri Sabah tetapi juga secara tidak langsung telah mengundang kepada masalah peningkatan masalah sosial seperti mencuri, melacur dan sebagainya. Menurut jabatan Perangkaan Malaysia menganggarkan sebanyak 614824 pendatang asing tanpa izin telah menjadikan negeri Sabah sebagai “rumah kedua” mereka dan hal ini berlaku kerana kedudukan negeri Sabah yang bersebelahan dengan negara Filipina telah memudahkan laluan bagi mereka untuk masuk ke sini sama ada dengan cara halal atau haram untuk mencari pekerjaan seperti dalam sektor perniagaan, pembinaan dan pengangkutan.
Kesan negatif utama yang dihadapi oleh penduduk tempatan sehingga kini adalah kewujudan kawasan setinggan yang lebih dikenali sebagai “Kampung Air”. Kawasan lain seperti Kampung Likas, Kampung Sembulan dan kawasan Sepanggar yang berhampiran dengan sungai dan laut dianggap menjadi kawasan penempatan yang selamat bagi mereka untuk melarikan diri daripada pihak berkuasa sekiranya diadakan operasi “Ops Nyah”. Pada dasarnya, kawasan setinggan ini dibina di atas tanah milik kerajaan Sabah secara haramdan tanpa tunduk kepada undang-undang negara Malaysia, mereka berani untuk bertindak membuat sambungan plag kepada tempat-tempat yang berhampiran dengan kawasan setinggan tersebut hanya demi mendapatkan bekalan elektrik dan air secara percuma.
Selain itu, kemasukan pendatang asing ke Kota Kinabalu juga telah menyebabkan berlakunya peningkatan kadar jenayah terutamanya dalam kegiatan jenayah berat. Perlakuan jenayah ini bermula di Kampung Air dan kawasan setinggan kerana kawasan ini menjadi “sarang” yang strategik untuk menjalankan modus perandinya kerana jauh dari mata pandangan rakyat tempatan dan pihak berkuasa serta memudahkan mereka untuk meloloskan diri dengan menggunakan jalan air. Antara jenayah berat yang berlaku adalah pengedaran dadah. Bekalan dadah ini diperolehi dari negara asal mereka dan kemudian dijual kepada pendatang asing serta kepada orang tempatan. Stok dadah yang dibawa juga adalah dalam kuantiti yang banyak sehingga mencecah jutaan ringgit.
Di sekitar Kota Kinabalu juga terutamanya Kampung Air terkenal dengan kegiatan pelacuran. Kebanyakan pelacur pendatang tanpa izin adalah berusia dalam lingkungan 15-30 tahun. Pelanggannya bukan sahaja pendatang asing sendiri malah lebih memalukan lagi apabila rakyat tempatan juga tidak terlepas untuk melanggan pelacur di Kampung Air bagi mendapatkan khidmat seks yang ditawarkan. Bayaran yang dikenakan adalah sekitar RM50 dan ke atas bergantung kepada pelanggan yang membayarnya. Menurut kajian, pelacur-pelacur ini disuruh dan dipaksa oleh ibu bapa mereka untuk melacur dan sesetengahnya memang memilih menjadi pelacur sebagai sumber pendapatan utama.
Selain daripada pelacuran, Kampung Air juga menjadi sarang ‘Mak Nyah’ atau pondan menjalankan kegiatan terkutuk mereka. Penularan kegiatan ini telah menyebabkan berlakunya penyebaran penyakit yang merbahaya seperti penyakit HIV dan AIDS serta penyakit kelamin seperti sifilis. Kebanyakan pendatang asing, tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Oleh yang demikian, mereka melakukan jenayah seperti memukul, meragut dan merompak sebagai pekerjaan sampingan dan kebanyakan mangsa mereka adalah golongan wanita, warga emas dan pelajar.
Kemasukan pendatang asing ke Kota Kinabalu juga telah menyebabkan kadar perkahwinan campur dan perceraian meningkat dari semasa ke semasa. Hal ini demikian kerana, pendatang asing yang masuk Sabah biasanya akan berusaha untuk mendapatkan hak kewarganegaraan dan hanya mudah diperolehi jika mereka berkahwin dengan penduduk tempatan. Pendatang asing ini akan menggunakan pelbagai tipu helah untuk memikat gadis tempatan supaya berkahwin dengannya. Setelah berkahwin, mereka akan meminta hak kewarganegaraan mengikut syarat yang ditetapkan oleh undang-undang. Setelah mendapat hak itu, pendatang asing ini akan membuat pelbagai masalah dan kerenah serta meninggalkan keluarganya sehelai sepinggang sehingga menyebabkan anak-anak hasil perkahwinan mereka terbiar dan nasib isteri tidak terbela.
Selain itu, bagi pendatang asing tanpa izin yang berkahwin dengan wanita tempatan akan menghadapi masalah memberi status kewarganegaraan anak-anak mereka. Hal ini mengakibatkan anak-anak tersebut tidak dapat dihantar ke sekolah dan tidak mendapat hak-hak keistimewaan warganegara yang lain. Hal ini telah menyukarkan ibu bapa untuk membesarkan anak-anak mereka dengan sempurna. Kesannya, anak-anak ini akan menyumbang kepada permasalahan kanak-kanak jalanan dan masalah sosial yang lain. Kebanyakkan kanak-kanak jalanan ini berkeliaran di Pasar Besar Kota Kinabalu dan golongan ini lebih dikenali sebagai ‘KK Street Kids’ oleh penduduk tempatan.
Tuntasnya, isu masalah pendatang tanpa izin di Sabah haruslah dibendung bersama-sama oleh semua entiti masyarakat Malaysia agar kita tidak menggigit jari pada masa akan datang apabila negara kita ditakluki oleh mereka bukan sahaja dalam aspek ekonomi dan sosial tetapi juga mungkin dalam aspek pucuk pimpinan negara.
By: Richard Chai
salam.
ReplyDeleteboleh tak sy dapatkan info mengenai kanak2 jalanan sabah ini melalui tuan pnya blog?
sila respon di email sy
elysum@yahoo.com
tq.