Monday, July 20, 2009

RENCANA

Guru Di Pedalaman: Cabaran dan Tanggungjawab
Posted by: Av-Christya J.D.M

..Ketika orang lain masih nyenyak tidur, beliau pula terpaksa bangun seawal jam 4.00 pagi dan mandi di perigi yang dikelilingi dengan kelapa sawit. Tanpa mengeluh, beliau bersiap dan memandu sejauh hampir 50 km setiap hari meredah jalan yang tidak berturap dengan keadan fizikal geografinya pula yang berbukit-bukau. Begitulah rutin seharian seorang guru besar yang sanggup meredah semua halangan demi tanggungjawap yang telah diamanahkan oleh kerjaan dan bangsa jauh di zon Trusmadi, sebuah sekolah di pedalaman Keningau yang terletak kira-kira 200km dari pusat Bandar, ini kerana sekolah tempat beliau bertugas tidak mempunyai rumah guru yang mencukupi untuk menampung keperluan tempat tinggal guru-guru yang bertugas di sana dan terpaksa berkorban untuk tinggal di rumah kebun apatah lagi kerana kemudahan asas lain seperti bekalan air dan elektrik belum tiba. Untuk berhubung dengan keluarga beliau terpaksa berjalan jauh semata-mata untuk mencari ‘line’ bagi menghubungi keluarga, menggunakan email jauh sekali kerana kemudahan internet sukar diperolehi..

Isu guru di pedalam bukanlah perkara asing bagi semua masyarakat di Malaysia namun sejauh manakah masyarakat mengetahui bertapa payah guru-guru di pedalaman ini berjuang hidup demi untuk mendidik masyarakat bangsa tercinta? Ketika sedang melayari internet untuk mencari bahan tugasan, saya terbaca komen seorang individu yang mengatakan bahawa “Guru sekarang mana boleh harap, guru sekarang guru mengira duit”. Demikianlah yang ditulis oleh individu tersebut berikutan timbulnya isu pemberian elaun khususnya untuk guru-guru di pedalaman. Sehingga hari ini ibubapa saya termasuk beberapa orang saudara mara telah berkhidmat di pedalaman sejak berpuluh tahun. Saya mengerti dan faham akan kesusahan guru-guru yang berada di kawasan pedalaman ini.Walaupun elaun diberikan namun kos sara hidup guru di pedalaman adalah sangat tinggi berbanding di tempat lain.Tidak semua guru yang sanggup berkhidmat di pedalaman dan kita harus bersyukur kerana ada yang sanggup untuk meninggalkan keluarga jauh dari pandangan mata hanya semata-mata untuk menunaikan tanggungjawap mereka sebagai pendidik. Jadi wajarkah masyarakat menuduh guru mata duitan lantaran pemberian elaun yang wajar diterima oleh kaum guru malah lebih dari itu pada hakikatnya?

Mungkin masyarakat tidak mengetahui bahawa kebanyakan guru-guru yang bertugas di pedalaman ini terpaksa berhempas pulas menyesuaikan diri di pedalaman. Ada yang terpaksa berjalan kaki hampir empat hingga enam jam untuk tiba ke kawasan sekolah dengan melalui jalan balak. Ada pula yang terpaksa menyeberangi sungai dan menongkah arus tidak kira hujan mahupun panas semata-mata untuk mendidik anak bangsa yang jauh terasing dari kepesatan pembangunan. Untuk masuk dan keluar dari kawasan sekolah juga memerlukan kos yang tinggi kerana guru-guru terpaksa membayar tambang yang mahal sehingga mencecah tiga angka termasuk mengupah penduduk kampung untuk mengangkat bekalan barangan makan yang dibeli untuk tempoh beberapa bulan kerana kesukaran untuk keluar mendapatkan bekalan makanan segar. Ini termasuklah ketika mereka terpaksa keluar dari sekolah untuk berurusan di pejabat, berkursus mahupun atas faktor kesihatan. Ini belum lagi melibatkan kos minyak guru-guru yang mempunyai kenderaan untuk masuk ke dalam kawasan pedalaman. Tidak semua tuntutan pembayaran boleh dituntut apatah lagi jika ianya berkaitan dengan urusan peribadi.

Cabaran yang paling berat adalah apabila mereka terpaksa berhadapan dengan masyarakat yang penuh dengan adat resam, adakalanya betentangan dengan anutan agama yang dipegang. Bayangkan bertapa mereka harus menjaga hati penduduk kampung yang tidak dikenali sekaligus menjaga tuntutan agama yang dipegang. Tahukah anda bahawa kebanyakan penduduk di pedalaman akan mengadakan upacara sambutan mengikut adat resam mereka bagi menyambut guru-guru yang tiba? Bukan itu saja, bayangkan pula kehidupan seharian mereka yang begitu terasing di bumi sendiri. Selain itu masalah komunikasi juga boleh berlaku. Mungkin benar murid-murid sudah boleh bertutur dalam bahasa melayu tetapi bagaimana pula dengan ibubapa pelajar yang tidak pernah berhubung dengan orang luar apatah lagi belajar mengeja dan membaca? Apa lagi jika timbul masalah salah faham akibat salah cara berkomunikasi lantaran latar pendidikan yang berbeza. Disini guru-guru pula yang terpaksa memainkan peranan untuk belajar bertutur bahasa etnik kaum yang diajar demi mengelakkan masalah seperti ini berlaku.

Sesetengah masyarakat juga turut beranggapan bahawa tugas guru sangat mudah kerana berkhidmat hanya setengah hari sahaja. Tetapi bagi keluarga yang mempunyai ahli keluarga yang bertugas sebagai seorang guru tentu bersetuju bahawa tugas guru tidak berakhir pada pukul 1 petang tetapi pada pukul 10.00 malam terutama yang memberikan kelas tambahan dan memeriksa buku atau latihan yang diberikan kepada pelajar. Terlalu banyak kepayahan yang dihadapi oleh para guru sehingga sukar untuk diluahkan dengan kata-kata dan tulisan. Sebagai masyarakat kita sepatutnya menyokong mereka dan bukannya menjatuhkan mereka kerana tanpa guru,tiadalah pemimpin pada hari ini dan tanpa guru kita tidak mungkin menjadi siapa diri kita pada hari ini. Fikir-fikirkanlah, jangan hanya tahu menunding jari tapi tidak mengetahui apa-apa mengenai keperitan yang mereka alami kerana tanpa guru gelaplah masa depan Negara.
Copyright © 2009 PORTAL BERITA sakap-sakap ja ba

No comments:

Post a Comment